Ezad Lazim Bakal Bergandingan Bersama Siti Nordiana

Penyanyi Ezad Lazim merancang untuk melamar juara program realiti Gegar Vaganza musim kedua (GV2), Siti Nordiana sebagai teman duet bagi melengkapi pembikinan album mininya yang bakal menemui peminat, tahun depan.

Ezad atau nama penuhnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim mengakui, selesa bergandingan dengan penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran yang dipanggilnya Nana itu kerana mereka sering bertukar pandangan ketika sama-sama menyertai GV2.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Demi Cinta itu berkata, album terbaharunya bakal memuatkan lima lagu termasuk nyanyian duet bersama Nana.

“Memang banyak permintaan yang mahu kami bergandingan. Perkara ini sudah saya usulkan kepada Nana dan dia memberikan lampu hijau. Nana memiliki bakat dan kualiti vokal yang baik, malah saya optimis gabungan suara kami akan menghasilkan kerjasama yang membanggakan.

“Saya berharap akan dipertemukan dengan single yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara kehebatan Demi Cinta. Insya-Allah, semua ini hanya akan direalisasikan tahun depan,” katanya.

Ezad yang pernah mencipta populariti bersama kumpulan Exists sebelum bergerak solo juga memberikan dirinya tempoh lima tahun untuk terus aktif, sebelum beralih memberikan tumpuan kepada kerjaya di balik tabir.

“Semua itu hanya perancangan, bergantung kepada kejayaan perniagaan yang sedang saya usahakan. Sebelum ini, saya pernah menjual minyak wangi, tudung dan jubah. Meskipun masih diterima, saya perlu berani mencuba bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Ezad bersyukur, kerjaya nyanyiannya terus menunjukkan peningkatan selepas menyertai GV2 dan sokongan tidak berbelah-bahagi peminat menyuntik semangatnya untuk bekerja lebih keras.

“Saya berharap dapat mencipta lebih banyak kejayaan pada tahun depan. Alhamdulillah, tahun ini lagu Demi Cinta yang saya hasilkan bersama Mohd Yassin dan lirik Iman Imran meninggalkan impak tersendiri kepada perjalanan kerjaya saya. Sebelum ini, hampir lima tahun saya terkapai-kapai mencari arah apabila beberapa single yang dihasilkan tidak mendapat perhatian.

“Saya bersyukur Demi Cinta diterima ramai hingga peminat begitu kecewa apabila lagu ini gagal mara ke kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-31. Saya juga kecewa, tetapi mungkin bukan rezeki,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s