Harith Iskander Perlukan Undian Rakyat Malaysia

Pelawak Harith Iskander mungkin ‘tidak cukup nafas’ buat masa ini, kerana sedang menunggu keputusan undian dalam talian selepas selesai beraksi di peringkat akhir pertandingan Funniest Person In The World (TFPW) di Levi, Finland.

Penonton di Malaysia telah mengikuti aksi lawak mereka secara penstriman langsung sekitar jam 9 malam waktu Finland (Jumaat, 3 pagi waktu Malaysia).

Aksi Harith dan semua finalis itu kini dimainkan di LaughFactory.com dan sedia untuk diundi dalam tempoh 24 jam.

Dalam persembahan akhir tersebut, Harith bersaing dengan empat pelawak dunia lain seperti Alex Calleja daripada Filipina, Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Katerina Vrana (Greece).

Mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan, pengacara program Obviously Harith Iskander itu melawak selama lebih kurang 15 minit, bermula dengan kisah kedatangannya ke Finland.

Bermula dengan memperkenalkan Malaysia dan cuaca, Harith berkongsi pula tentang keseronokannya duduk di kelas bisnes pesawat Singapore Airlines, termasuk soal keadaan dalam pesawat dan layanan pramugari.

Beliau seterusnya melawak tentang hubungan antara suami isteri serta segala perkara lucu yang berkaitan hidup lelaki dan wanita.

Semua penceritaan humor itu telah Harith sampaikan dalam gaya tersendirinya iaitu cara bercakap pantas, usikan nakal, dan meletakkan diri dalam watak-watak berbeza.

Pertandingan yang bermula sejak Ogos lalu itu menerima sambutan menggalakkan dari seluruh dunia, dengan setiap negara menghantar bakat komedi terbaik masing-masing seterusnya ditampilkan dalam saluran video LaughFactory.com.

Pada pusingan pertama, 20 peserta dengan undian dalam talian terbanyak layak masuk ke pusingan kedua.

Sebelum itu, rakaman video yang diluluskan peserta dimuat naik ke laman web Indi pada 17 Oktober, dan proses undian sedunia berlangsung sehingga 5 Disember. Pada 6 Disember, lima peserta akhir diumumkan.

Juara TFPW akan menerima hadiah utama sebanyak AS$100,000 (RM444,845), manakala mereka yang berada di tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima AS$10,000 (RM44,484) dan AS$ 5,000 (RM22, 242).

TFPW dianjurkan antara lain untuk meraikan kepelbagaian budaya di seluruh dunia selain menyatukan manusia dan mempromosi keamanan melalui acara hiburan gelak ketawa.

Segala maklumat mengenai pertandingan itu akan dikemaskini oleh Harith di semua medium sosial miliknya iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s