Semenjak Lim Guan Eng berpeluk cium dengan Mahathir didalam Pakatan Harapan, Setiausaha Agung DAP tersebut makin galak menyerang Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang dulu menjadi rakan yang paling Guan Eng sanjung didalam blok pembangkang.
Mahathir juga nampaknya telah berjaya mempengaruhi bukan sahaja Guan Eng, tetapi kebanyakan pemimpin DAP yang lainnya untuk membenci PAS selain dari menghasut penyokong DAP menentang pemimpin Islam didalam negara.
Begitu hebatnya pengaruh Mahathir terhadap Guan Eng, walaupun selama ini kesemua penyokong DAP menyedari dan ditanamkan doktrin tentang betapa liciknya permainan politik Mahathir dan juga betapa rasisnya Mahathir terhadap cina DAP.
Dalam satu kenyataan semasa berucap di Persidangan Tahunan DAP 2016, Guan Eng seolah-olah mahu terus menguburkan sejarah kerjasama diantara DAP dan PAS apabila menganggap PAS kini tak boleh dipercayai lagi.
Ketua Menteri P.Pinang itu juga mengatakan bahawa PAS kini lebih selesa berpeluk dengan UMNO, dan sanggup mengenepikan perjuangan rakyat yang dibawa oleh DAP dan Pakatan Harapan demi memenuhi kepentingan politik peribadi.
Guan Eng juga menyatakan kesanggupan DAP untuk menyatukan seluruh rakyat di dalam negara, bagi menyelamatkan Malaysia dari cengkaman kerajaan yang didakwanya banyak melakukan kerosakan dan kemudaratan terhadap rakyat.
Namun, mampukah Guan Eng dan Pakatan Harapan mengembalikan kegemilangan gerombolan Pakatan seperti yang pernah mereka kecapi selepas Pilihanraya Umum ke-13 lalu? Jika dilihat melalui beberapa sesi ceramah dan juga siri jelajah Pakatan Harapan, nyata hambar tanpa sokongan kumpulan penyokong PAS.
Malah siri demonstrasi haram yang dilakukan dijalanan seperti Bersih 5 baru-baru ini juga membuktikan, Pakatan pembangkang akan mati tanpa sokongan orang melayu didalam parti Islam yang kini dipinggirkan oleh Guan Eng tersebut.
Jadi apa yang Guan Eng mahu kuburkan? PAS, UMNO atau pun Pakatan Harapan? Karier Guan Eng sendiri pun hampir terkubur dek kerana skandal rasuah banglo mewah serta salahguna kuasa di P.Pinang, tetapi dia masih ada hati mahu kuburkan pihak lain. Sangat memalukan!!