Pindaan Akta 355 tak ada kaitan dengan perlaksanaan Hudud

5 copy.jpg

 

Dialog dan Soal Jawab dengan pemimpin-pemimpin Bukan Islam khususnya MCA dan GERAKAN Kelantan di Kota Bharu pada 30 Oktober 2016

1. Apa keperluan dipinda AKTA 355?

Jawapan:

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie. Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000.

Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

2. Sebatan 100 kali adalah agak melampau?

Jawapan:

Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun. Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan 1 kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.

3. Akta 355 memberi kesan secara tidak langsung kepada orang Bukan Islam

Jawapan:

Orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

4. Akta 355 adalah pintu belakang ke arah melaksanakan Hudud.

Jawapan:

Akta 355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud. Pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya bagi melaksanakan Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan

5. Apakah Perlembagaan boleh dipinda?

Jawapan:

Boleh dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada 222 orang Ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-satu pindaan.

Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, PAS, PKR, PAN, PBB dan DAP hanya berjumlah 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan. Bermakna Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam juga mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman Hudud dilaksanakan.

6. Apakah bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda untuk laksana Hudud di Malaysia?

Jawapan:

Sekurang-kurangnya 3 bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:

(i). Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1. Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa persekutuan dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak dibawah Persekutuan.

(ii). Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.

(iii). Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan Bukan Islam.

7. Pindaan RUU 355 ini membolehkan undang-undang berbaur Hudud diperkenalkan.

Jawapan:

Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat individu atau dosa peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak dan Murtad, manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti Mencuri dan Merompak. Sekarang inipun 4 jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi

(Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudah ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri.

8. Ketidakadilan akan berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Jawapan:

Rogol bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.

9. Perlaksanaan Hudud akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan dengan dua set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan:

Soalan ini tidak relevan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan Hudud mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi tiada isu pertentangan dengan mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Kenapa bukan Pihak Kerajaan yang membentangkan RUU untuk meminda Akta 355?

Jawapan:

Kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil.

Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Sultan-Sultan atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak dibawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di kalangan Negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.

Dengan kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Pesekutuan, namun ia adalah berkait secara langsung dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Kuasa Sultan/ Raja-Raja.

Terdapat banyak tertib langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari Parti-parti bukan Islam. Justeru bagi mengelakkan kesukaran yg mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan sebagai Usul Persendirian.

Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk dibahaskan ia adalah kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan Kerajaan semata-mata. Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN.

Dalam konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah yang hendak diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur serupa. Walau bagaimanapun Parti PAS dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s